Anda mempunyai hasrat untuk membuat blog atau website sendiri tetapi terhalang kerana tidak tahu bagaimana caranya?
Anda mahu belajar cara membuat website sendiri?
Cara buat blog tidaklah sesukar yang disangka. Dengan sedikit bimbingan anda pasti dapat membuatnya sendiri.
Dan yang menariknya:
Blog boleh menjana pendapatan sampingan
Malah ia boleh menjadi punca pendapatan utama jika anda buat sungguh-sungguh. Kerja dari rumah!
Dalam post ini, saya akan cuba membimbing anda untuk belajar buat blog sendiri dengan mudah, langkah demi langkah dalam bahasa yang paling senang difahami.
WordPress Sebagai Platform
Dalam panduan ini, kita akan menggunakan wordpress sebagai platform blog.
Yang baiknya tentang WordPress ini adalah:
- Tersedia untuk blog
- Senang untuk digunakan
- Boleh diurus dari mana-mana komputer yang mempunyai sambungan internet
- Tidak memerlukan pengetahuan coding
- Bagus untuk SEO
Jangan bimbang, dengan WordPress, anda tidak perlu mengetahui program seperti html, css, js atau program server untuk membuat blog, melainkan anda ingin membuat sesuatu benda yang sangat terperinci.
Keperluan Utama untuk Buat Blog
4 perkara penting jika anda berhasrat untuk buat blog iaitu:
- Masa: Masa untuk blog anda
- Nama domain: contohnya ithmm.com
- Website hosting: Tempat fail dan data blog anda disimpan
- Bajet: Untuk membayar domain dan web hosting
Jika anda mahu mencuba yang percuma dahulu boleh rujuk sini: Buat Blog @ laman web percuma di WordPress.com
Tapi jika anda benar-benar mahu serius, saya cadangkan anda miliki blog dengan domain sendiri kerana terdapat banyak kelebihannya.
Urutan Langkah untuk Buat Blog
Berikut merupakan urutan langkah untuk buat blog sendiri:
- Pilih Topik Blog
- Tentukan Nama Domain
- Beli Domain dan Hosting
- Install WordPress
- Akses Admin WordPress
- Install Theme WordPress
- Buat Page & Post
Mari ikuti langkah demi langkah untuk membuat blog ini dengan lebih terperinci.
1 Pilih Topik Blog
Paling penting sebelum anda membuat blog, tanya diri anda.
Apa tujuan utama anda buat blog?
Untuk hobi? Untuk menjana pendapatan sampingan? Untuk mempromosikan syarikat atau bisnes anda?
Kunci utama untuk memilih topik ialah:
Pilih topik yang anda minat
Taktik ini sangat berkesan untuk jangka masa panjang. Apabila anda memilih topik yang anda minati, anda akan seronok untuk membuatnya.
Anda dapat menyelitkan perasaan atau emosi anda dalam penulisan blog. Ini menjadikan blog anda lebih menarik.
Kebarangkalian untuk blog menjadi hambar adalah sangat tinggi jika anda tidak menyukai topik yang dipilih.
Anda tidak dapat berbohong kepada para pembaca. Apabila anda menulis sesuatu yang anda tidak minati/sukai, ia boleh dikesan daripada gaya penulisan anda.
Terutama sekali bila ia dibaca oleh mereka yang betul-betul meminati topik tersebut. Oleh itu pilihlah topik yang anda betul-betul minat.
Tetapkan satu topik sahaja
Adalah baiknya jika anda menetapkan topik blog anda kepada satu bahagian sahaja. Contohnya blog tanaman organik, blog penjagaan bayi, blog kesihatan…
Topik yang khusus memberikan anda kelebihan dari segi pengaruh dan juga SEO. Sila perhatikan contoh berikut:
- Artikel “kebaikan vitamin C” daripada blog kesihatan
- Artikel “kebaikan vitamin C” daripada blog kenderaan
Mana satu anda lebih percaya atau yakin untuk membaca? No 1 atau no 2? Seimbas lalu sudah semestinya artikel no 1.
Namun begitu tidak semestinya anda mesti mengikuti istilah satu blog satu topik ini. Terdapat juga blog diluar sana yang tidak mempunyai topik khusus tetapi sangat berjaya seperti infosantai.com.
2 Tentukan Nama Domain untuk Blog anda
Selepas anda pilih topik perkara seterusnya yang perlu anda buat ialah menentukan nama domain terbaik untuk blog anda.
Jika anda membuat blog untuk bisnes atau syarikat anda sudah tentu anda akan gunakan nama syarikat atau bisnes anda.
Jika anda tidak mempunyai nama khusus berikut merupakan panduan yang anda boleh gunakan untuk mecipta dan menentukan nama domain yang terbaik.
Panduan pemilihan nama domain terbaik
- Senang untuk dieja
- Pendek
- Senang diingati
- Sentiasa pilih .com sebagai pilihan utama
- Pastikan belum digunakan oleh orang lain
- Sasarkan kepada topik anda
- Elakkan penggunaan nombor dan simbol
Untuk panduan dan tips penuh anda boleh rujuk post ini: 12 Tips Memilih Nama Domain Terbaik.
Contohnya anda ingin membuat blog tentang pengurusan kewangan peribadi. Contoh nama domain baik mengikut konsep diatas adalah:
- matjimat.com
Contoh nama domain yang kurang baik adalah:
- pengurusankewanganperibadi.com
matjimat.com lebih menarik kerana senang diingat, senang dieja. Sekali baca orang tahu bahawa blog ini adalah tentang pengurusan kewangan atau sekurang-kurangnya berkenaan dengan wang/duit.
Sebaliknya pengurusankewanganperibadi.com pula sangat panjang, hambar, sukar dibaca dan kurang menarik. Kelihatan sangat formal seperti scam.
Mungkin ada pakar SEO diluar sana lebih mengatakan pegurusankewanganperibadi.com lebih baik kerana mengandungi kata kunci. Tapi ingat, SEO sekarang bukan seperti SEO dulu.
Tidak ada idea untuk nama domain anda? Mungkin pautan ini boleh membantu anda: Wordoid.
video di bawah boleh jadi sumber rujukan.
Senaraikan beberapa nama domain pilihan anda kemudian cuba periksa nama tersebut sama ada masih boleh didapati atau tidak menggunakan pautan ini: Instant Domain Checker.

Comments
Post a Comment